Pada waktu ini, sejak Tan Sri Hj. Muhammad bin Muhd Taib mengumumkan kesedian beliau menawarkan diri bagi jawatan Naib Presiden UMNO, terdapat beberapa inividu yang cuba untuk memburuk-burukkan imej Tan Sri Muhammad. Beliau yang lebih senang dengan panggilan Tan Sri Mat Taib dikalangan para sahabat dan penyokong UMNO, telah ditonjolkan sebagai seorang pemimpin yang tidak berkaliber dan mempunyai imej yang tidak baik.
Alhamdulillah, saya dibesarkan di era Tan Sri Mat Taib sebagai Menteri Besar Selangor sekaligus sebagai Pengerusi Yayasan Selangor. Alhamdulillah juga saya telah terpilih untuk menjadi anak Yayasan Selangor dan ditempatkan di Asrama Dr. Latiff, Kuala Lumpur yang merupakan asrama Melayu tertua di Kuala Lumpur. Sayangnya asrama ini telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan Kuala Lumpur. Kami sebagai anak Yayasan Selangor telah diberi perhatian yang cukup tinggi oleh Tan Sri Mat Taib bagi memastikan kami menerima pelajaran yang terbaik demi masa depan yang gemilang.
Tan Sri Mat Taib sebenarnya berkait rapat dengan pendidikan di mana beliau pernah berkhidmat sebagai seorang guru selama 10 tahun serta pernah memegang jawatan Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran sebelum dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Pelajaran. Malah pembangunan modal insan serta pembudayaan ilmu telah menjadi sebahagian daripada agenda politiknya sejak dari dahulu. Ini dizahirkan melalui perkembangan pesat Yayasan Selangor serta penulisan beliau bertajuk Melayu Baru semasa beliau memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri Selangor.
Di bawah era beliau, pendidikan diberikan penekanan yang cukup tinggi. Saya pernah menyertai salah satu simposium berkaitan pendidikan yang telah dirasmikan sendiri oleh Tan Sri Mat Taib di UKM sekitar tahun 1994. Di dalam majlis itu, beliau telah memetik beberapa perkara dari buku Melayu Baru dan menekankan bahawa Melayu Baru adalah Melayu yang berilmu tinggi. Alhamdulillah, mungkin rezeki saya, beliau telah menghadiahkan saya senaskah buku Melayu Baru yang telah beliau tandatangani sebagai cenderamata dan buku in telah menjadi sebahagian daripada koleksi perpustakaan mini keluarga saya hari ini.
Selain Melayu Baru sebenarnya terdapat dua buah buku lagi yang perlu dibaca, dikaji dan dihayati oleh setiap orang Melayu terutama para belia bagi memahami siapa sebenarnya Melayu seterusnya melonjakkan diri mereka dari kepompong Melayu Lama. Buku-buku ini ialah Dilema Melayu oleh Dr. Mahathir Mohamad dan Revolusi Mental yang dihasilkan sendiri oleh Pergerakan Pemuda UMNO dan diselia oleh Senu Abdul Rahman dengan Pak Lah sendiri sebagai salah seorang penggeraknya. Tidak ada silap dan salah di dalam Melayu Lama, namun tidak ada silap dan salah juga sekiranya Melayu hari ini membina diri mereka agar lebih hebat dan lebih baik daripada Melayu Lama. Sifat-sifat negatif yang ada pada Melayu Lama perlu dihakis manakala sifat-sifat positif diperkukuhkan lagi seterusnya ditambah pula dengan pelbagai sifat-sifat positif yang lain.
Kembali kepada Tan Sri Mat Taib, beliau juga sebenarnya adalah di antara penggerak program pembandaran orang Melayu. Pembandaran orang Melayu, walaupun mempunyai beberapa kesan negatif kepada nilai-nilai kemasyarakatan Melayu, namun ianya telah berjaya membentuk Melayu Baru yang kuat jati diri dan berani bersaing. Malah pembinaan bandar-bandar baru dengan bertulang belakangkan orang Melayu telah berjaya dibina, sebagai contoh Bandaraya Shah Alam yang kini merupakan salah sebuah bandaraya indah, tersusun dan berkualiti serta Bandar Baru Bangi yang berjaya mengubah imej dan mengangkat taraf ekonomi masyarakat Melayu di sekitar Hulu Langat, Kajang dan Sepang. Kejayaan pembangunan bandar-bandar Melayu ini telah menjadi bukti bahawa masyarakat Melayu di Selangor semasa di bawah era Tan Sri Mat Taib telah menerima satu arus pembangunan yang seimbang beserta dengan pembangunan modal insan.
Sekiranya kita perhatikan dengan teliti kita akan dapati bahawa bandar-bandar ini telah dibina berhampiran dengan dua pusat pengajian tinggi utama masyarakat Melayu iaitu Universiti Teknologi MARA atau UiTM di Shah Alam dan Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. Ianya merupakan satu strategi yang berkesan berdasarkan kepada Teori Burung Pelikan (Pelican Theory). Mengikut teori ini, sekiranya kita ingin membina sesuatu budaya di dalam sesebuah kelompok dengan jayanya, maka perlu ada satu kelompok lain yang memulakannya dan menjadikannya satu budaya. Secara tidak langsung masyarakat di dalam kelompok besar ini akan terikut-ikut dengan budaya kelompok kecil tadi dan akhirnya menerapkan budaya tadi di dalam kelompok mereka. Melalui usaha membina bandar baru Melayu di sekitar pusat pengajian tinggi, maka Tan Sri Mat Taib berjaya menerapkan budaya ilmu ini secara halus ke dalam budaya masyarakat Melayu yang membesar di Shah Alam dan Bandar Baru Bangi. Ianya merupakan satu pendekatan yang sangat strategis.
Mengambil sedikit tulisan Tan Sri Mat Taib di dalam buku Melayu Baru:
"Melayu Baru bukan satu utopia, tetapi ia adalah satu jangkauan yang real, boleh dicapai, dengan strategi dan gerakan yang sempurna dan menyeluruh. Sempurna dari segi 'apa yang mesti dibuat' dan menyeluruh dari segi 'komitmen setiap individu'.
Kita bersyukur jika mempunyai pemimpin yang punya karisma yang tinggi - punya fikiran, rancangan dan tindakan yang menjangkau. Pemimpin seperti itu adalah satu aset paling berharga dalam bangsa itu, walaupun biasanya ia akan disusahkan dengan arus fikiran dan kehendak popular masa."
Melalui petikan di atas, kita juga dapat melihat bentuk kepimpinan yang ditonjolkan oleh Tan Sri Mat Taib yang amat mementingkan pemimpin yang berkualiti dari segi pemikiran dan tindakan. Pemimpin akan hanya mempunyai pemikiran berkualiti sekiranya mereka sendiri membudayakan ilmu kerana ilmu membina peribadi dan karisma diri. Seterusnya berbekalkan jati diri yang kuat, maka tindakan akan terlaksana dengan mudahnya. Sekiranya kita melihat kembali sejarah tamadun Islam, agama ini bermula dengan ilmu iaitu melalui ayat pertama yang diturunkan oleh Allah S.W.T. yang bermaksud 'Bacalah'. Namun kegemilangan masyarakat Islam juga hancur kerana kekurangan ilmu yang membina sikap berfoya-foya dan hilang jati diri. Akhirnya segala ilmu masyarakat Islam telah dicuri dan dimajukan oleh orang-orang kafir dan sehingga hari ini masyarakat Islam masih gagal untuk kembali sebagai sebuah masyarakat yang membudayakan ilmu.
Seperti yang ditekankan oleh Tan Sri Mat Taib di dalam buku Melayu Baru, sesebuah masyarakat memerlukan seorang pemimpin yang berkualiti tinggi bagi menaikkan taraf masyarakat tersebut. Tetapi bagaimanakah untuk kita mencari seorang pemimpin yang berkualiti? Adakah pemimpin ini perlu hadir dari keluarga bangsawan atau sekurangnya mempunyai kaitan kekeluargaan dengan seorang pemimpin yang lain? Atau mungkinkah pemimpin ini perlu hadir sebagai seorang yang telah berjaya dari segi ekonomi diri? Atau mungkin juga pemimpin ini perlu hadir dari sebuah keluarga yang susah atau yang telah menjalani satu bentuk kehidupan yang menggetirkan? Sekiranya soalan-soalan ini dijadikan panduan di dalam pencarian seorang pemimpin berkualiti maka ianya akan menjadi sangat kompleks serta menimbulkan pelbagai keraguan.
Saya petik sedikit lagi kupasan kepimpinan yang telah diterangkan oleh Tan Sri Mat Taib:
"Mungkin ada yang mengatakan, pemimpin karismatik itu, satu rahmat dari Tuhan, bukan mudah untuk membentuknya. Tetapi kita perlu mencungkil, mengasuh pelbagai potensi dan mengetengahkannya. Paling tidak pun, menjadi tanggungjawab kita, para pemimpin dan setiap ahli masyarakat, untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang baik, supaya ia boleh memulangkan kebaikan itu kepada generasi yang akan kita tinggalkan."
Satu petikan lagi mengatakan:
"Justeru, penekanan asas kepada generasi baru bakal pemimpin ialah pembinaan kualiti-kualiti kemanusiaannya dahulu secara peribadi, seperti yang selalu kita sebut: motivasi, ketahanan, kelasakan, kreativiti dan sebagainya. Kualiti-kualiti ini adalah umum dan asas kepada bidang apa pun yang bakal diceburi mereka.
Tahap yang kedua barulah mereka ini disuntik dengan nilai-nilai, motif-motif, visi-visi kepimpinan supaya dapat digerakkan kepada spesifikasi-spesifikasi tertentu, mengikut kecenderungan, potensi, dan sebagainya."
Memetik idea Profesor Ismail Hussein, jika kita melihat kepada ayat, sikap dan tindakan Tan Sri Mat Taib maka ianya menonjolkan Tan Sri Mat Taib sebagai seorang pemikir dengan latar belakang sebagai seorang pendidik, juga sebagai seorang ahli sejarah dan pengajian Melayu yang cemerlang. Beliau juga telah membuktikan komitmen beliau sebagai seorang pemimpin Melayu Baru dengan jayanya. Mungkin imej beliau tercalar sedikit akibat daripada beberapa kesilapan kecil yang pernah dilakukan, namun inilah lumrah manusia yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan.
Secara peribadi bagi saya Tan Sri Mat Taib masih lagi merupakan seorang pejuang Melayu Baru yang sejati.

No comments:
Post a Comment