“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, melainkan orang yang beriman dan mengerjakan perbuatan yang baik (amal soleh).” Al-Asr 88: 1-2.

Saya Sudah Bersedia

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah setelah mendengar pelbagai pendapat, nasihat, teguran malah harapan dari kalangan pemuda Kelana Jaya, para pemimpin cawangan juga dari sahabat-sahabat politik dari bahagian lain,
saya kini bersedia untuk memimpin Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kelana Jaya.

Malah, alhamdulillah gembira saya nyatakan, saya turut mendapat bimbingan dan nasihat dari bos saya, yang merupakan salah seorang Ketua Bahagian di Perak, sahabat-sahabat dari bahagian beliau dan juga sahabat-sahabat politik di luar.

Walaupun saya telah melibatkan diri di arena politik sejak tahun 1997, namun saya menganggap diri saya sebagai orang baru yang sentiasa perlukan bimbingan dan nasihat membina. Amat gembira rasanya apabila mendapat sokongan sebegini.

Pernah seorang sahabat bertanya, "Bila dah menang nanti hang nak buat apa?"

Satu persoalan yang sangat menarik bagi saya. Insya'Allah agenda pertama saya ialah untuk memulihkan kembali perpaduan pemuda Kelana Jaya yang terjejas akibat pemilihan ini.

Hablun minnan nas, kenyataannya semua ahli pemuda adalah bersaudara, namun di atas desakan pihak tertentu maka wujudnya kumpulan-kumpulan kecil yang mengikut 'kapal' tertentu. Memang sangat menyedihkan apabila memikirkan keadaan ini yang merupakan satu kerugian kepada pergerakan pemuda sendiri.

Rasulallah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
"Seseorang Muslim itu adalah saudara bagi Muslim yang lain, maka janganlah menganiayanya, jangan merendahkannya, dan jangan pula menghinanya. Seseorang itu dianggap buruk (keji) jika ia sampai menghinakan saudaranya sesama Muslim. Setiap orang Muslim terhadap orang Muslim lainnya adalah haram darahnya, hartanya dan kesopanannya (hadis riwayat Abu Hurairah)."

Agenda kedua saya adalah untuk membina pembudayaan ilmu, memperkasa jati diri dan kemahiran-kemahiran tertentu para pemuda UMNO Bahagian Kelana Jaya. Kekuatan akal dan minda yang bersandarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta kemahiran yang tinggi adalah tonggak kepada pembinaan budaya cemerlang yang akan melonjakkan pemuda Kelana Jaya ke tahap yang lebih tinggi.

Seperti yang diterangkan oleh Dr. Mahathir melalui buku Dilema Melayu, pembinaan sesuatu budaya perlu mengambil masa hingga ke beberapa generasi. Maka saya percaya ini adalah masa yang terbaik bagi memulakannya dan apabila budaya ini diteruskan ke generasi yang berikutnya serta menular kepada sahabat-sahabat lain, maka insya'Allah usaha untuk membina Melayu Baru seperti yang pernah diilhamkan oleh Ketua Bahagian Tan Sri Muhammad Haji Muhd Taib akan tercapai.

Bersandarkan kepada agenda pertama dan kedua tadi insya'Allah ianya akan memudahkan agenda ketiga iaitu peningkatan taraf ekonomi para pemuda. Sejak era pembandaran orang Melayu, masyarakat Melayu di bandar-bandar utama, terutama di Lembah Klang telah menerima tekanan ekonomi yang sangat hebat .

Tidak dinafikan ada juga kelompok yang berjaya menaikkan taraf ekonomi masing-masing, malah berjaya mengangkat taraf pendidikan anak-anak mereka. Namun secara keseluruhan masih ada kelompok masyarakat Melayu terutama di bahagian Kelana Jaya yang perlu dibantu bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Insya'Allah melalui tiga agenda ini, saya percaya cita-cita Dato' Onn Ja'afar yang melihat orang Melayu sebagai aset yang perlu digilap bagi menyerlahkan potensi mereka ke mata dunia akan tercapai.

Suasana politik hari ini memerlukan kepimpinan yang mampu membentuk satu pasukan kerja yang ikhlas berjuang demi kepentingan dan masa depan parti. Kepimpinan ini juga perlu bekerja keras bagi memastikan UMNO terus menjadi tonggak perjuangan masyarakat Melayu di peringkat nasional dan internasional.

Oleh itu, saya percaya dan yakin untuk menjadi sebahagian daripada kepimpinan masa depan UMNO yang akan melaksanakan misi dan agenda memperkasakan bangsa.

No comments: